Tik…. Tik…. Tik…… SELAMAT HARI IBU………… HAPPY MOTHER’S DAY……… akhirnya sambutan hari ibu menjelma lagi. Sambutan hari ibu akan disambung pada setiap bulan 5. Walaupun begitu, sambutan hari ibu tidak mempunyai tarikh yang tetap. Tetapi,kebiasaannya kita akan menyambutnya pada bulan 5 minggu ke2 pada hari ahad. Walaupun begitu, terdapat kata-kata yang mengatakan umat islam tidak patut menyambut hari ibu. Ini kerana, sepatutnya setiap hari merupakan hari ibu. Bagi aku yang penting niat kita untuk meraikan ibu kita yang telah penat melayan kita sejak kecil. Tetapi, itulah beza diantara kasih seorang ibu dan kasih anak. Kasih seorang ibu akan sentiasa ada untuk anak-anaknya, tetapi kasih serorang anak hanya meraikan ibunya pada sambutan hari ibu. Aku pernah mendengar bebrapa ayat seperti:
“seorang ibu mampu menguruskan sepuluh orang anak,
tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu mengurus seorang ibu.”
Kata-kata diatas ini telah menunjukkan betapa kasihnya seorang ibu kepada anak-anaknya. Betapa hebatnya insane yang digelar ibu ini. Mereka sanggup lakukan apa sahaja tanpa berasa malu. Sejak kecil lagi kita telah dilatih untuk memanggil ibu. Perkataan pertama yang keluar dari mulut kita adalah ibu. Bukan setakat itu sahaja. Terdapat pelbagai panggilan untuk seorang yang bernama ibu. Kita sering dengar panggilan ibu….. emak…. umi….. mama… mami…. amma….. dan adakala omma. Gara-gara taksub dengan cerita korea. Ibu adalah orang yang amat penting dalam hidup setiap manusia selain ayah. Untuk menampakkan lagi kehebatan insan yang bergelar ibu ini, beliau inilah yang telah membawa kita kemana saja beliau pergi selama 9 bulan 10 hari dalam kandungan. Ianya diibarat seperti membawa beban seorang anak kecil yang adakalanya menaiki tangga, berjalan jauh dan melakukan kerja-kerja berat. Walaupun begitu, tidak pernah sekali pun mereka mengeluh kepenatan kerana membawa kita. Bahkan mereka merasa gembira, senang hati dan rela hati membawa kita. Begitulah hebat dan kuatnya seorang yang bergelar ibu. Bukan itu sahaja, setiap kali terdengarkan lagu:
“ibu…ibu….engkaulah ratu hatiku,
Bila ku berduka,
Engkau hiburkan selalu,
Ibu…..ibu…. engkaulah ratu hatiku.”
Pasti semua orang akan teringat kepada ibu masing-masing. Liriknya yang cukup mudah tetapi menyentuh hati kita dan penuh dengan makna-makna. Apabila kita merasa susah dan berduka, ibulah orang pertama yang akan sentiasa ada untuk menhiburkan kita tanpa rasa jemu. Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi lagu yang telah direka khas untuk insane yang digelar ibu seperti untukmu ibu – Exist, mama – Boyz II Men, mama – Spice Girl dan banyak lagi. Mereka inilah yang sentiasa tanpa berkata tidak memberikan kita semangat dan menjadi seorang pendengar yang setia tanpa menjadi juri. Beliau mendengar tanpa penat. Mereka inilah yang akan menjadi burung hantu ketika kita tidak sihat. Walaupun mereka mengantuk, mereka akan memastikan anak-anak mereka dalam keadaan selesa. Meletakkan tuala di dahi, memberi ubat, membasuh muntah. Mereka lakukannya tanpa rasa marah dan tertekan, tetapi mereka tenangkan kita dengan suara yang lembut, belai kita dengan manjanya semata-mata supaya kita rasa selesa walaupun ketika itu kita tidak sihat.
Kuatnya seorang ibu ini dapat dilihat apabila mereka boleh melakukan berbagai jenis kerja. Beliau akan menjadi guru, ketika mengajar kita ketika kita masih kecil. Beliau akan menjadi hakim, ketika anak-anaknya bergaduh sesame sendiri. Beliau akan menjadi kawan, ketika anak-anaknya meluahkan perasaan. Beliau menjadi pelawak, ketika anak-anaknya bersedih. Beliau akan menjadi doctor, ketika anak-anaknya mengalami luka, demam dan sebagainya. Beliau akan menjadi polis, ketika anak-anaknya melakukan kesalahan. Beliau akan menjadi chef, ketika anak-anaknya kelaparan. Beliau akan menjadi ceti, ketika anak-anaknya memerlukan duit. Beliau akan menjadi pakar motivasi, ketika anak-anaknya memerlukan nasihat dan pendapat daripadanya.
Bak kata orang, doa seorang ibu itu adalah doa yang akan termakbul. Jadi betullah kata orang tersebut yang doa seorang ibu itu akan termakbul tidak kiralah beliau mendoakan kebaikkan atau sebaliknya. Ada sebuah kisah yang aku alami, aku masih teringat lagi. Masa itu aku masih di darjah 5. Ketika itu, ada perkhemahan yang dibuat oleh sekolahku dan aku ingin sangat pergi. Pada mulanya, ibuku tidak membenarkan aku pergi, tetapi ketika itu aku masih kecil dan asyik mahu mengikut kataku sahaja dan akhirnya ibuku membenarkan aku pergi di dalam keberatan. ALLAH itu maha Agung, akhirnya perkhemahan tersebut batal kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Moral untuk kisah ini, apa sahaja yang kita lakukan mestilah mempunyai restu daripada kedua ibubapa kita. Bukan itu sahaja, orang yang perlu kita taati selain ayah adalah ibu, seperti Abu Hurairah radhiallahu 'anh pernah berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”
Bagi kisah kedua pula ialah apabila seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallammeminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.
Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”
Jahimah menjawab: “Ya.”
Lalu Rasulullah bersabda:
“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”
Begitulah besarnya nilai atau pentingnya seorang ibu. Sehingga mereka telah diangkat tiga kali ganda berbanding ayah. Jika kita lihat sejak kita kecil lagi, ibulah yang sering ada untuk kita. Ibulah yang memberi kita susu, menyuapkan makanan kepada kita, memandikan kita dengan sentuhan yang lembut, bangun awal semata-mata untuk menyediakan bekalan untuk kita, memastikan kita mendapat sarapan pagi yang berkhasiat, yang menghantar kita kesekolah. Bukan itu sahaja, tanpa seorang ibu kita tidak akan ada di dunia ini untuk melihat keindahan dunia ini. Kita juga sering dengar awaklah cinta pertama saya, you are my first bestfriend. Tapi kita lupa bahawa kebanyakkan perkara pertama yang berlaku dalam hidup kita adalah bersama ibu kita. Beliaulah yang pertama memberikan kita makan. Sebaik sahaja kita lahir, beliaulah orang pertama yang memeluk kita dengan penuh kasih sayang. Ibu jugalah yang pertama merasa sangat gembira melihat kita membesar dari merangkak, duduk, berdiri dan berjalan sendiri. Segala kemahuan kita pasti akan dituruti. Semua itu membuatkan seorang ibu itu sangat gembira.
Ketika kita masih bayi, ibulah yang akan berjaga untuk memastikan kita tidak lapar dan tidur dengan nyenyaknya walaupun ketika itu beliau amat penat dan mengantuk. Adakalanya, beliau akan melayan kerenah kita untuk bermain walaupun ketika itu semua orang sedang dibuai mimpi-mimpi indah. Walaupun begitu, tidak pernah setitik pun mereka mengeluh dan marah. Ibu merupakan salah seorang yang mempunyai kesabaran yang amat tinggi. Ibu akan mendukung kita ketika kita menangis walaupun ketika tu tangan nya sudah kebas. Tetapi ibu tidak pernah kisah. Yang hanya mereka kisahkan adalah untuk memastikan kita selesa. Ibu jugalah orang yang paling sibuk ketika kita memulakan persekolahan. Tetapi, ianya bukan berhenti disitu sahaja. Ianya berterusan sehingga kita masuk ke university dan berkahwin. Seorang ibu pasti akan memastikan segala keperluan dan persiapan adalah sempurna. Untuk apa?.....hanya untuk memastikan kesenangan di pihak anak. Adakalanya, walau sesibuk manapun seorang ibu, mereka pasti akan menelefon ke rumah untuk memastikan anak-anaknya sudah makan atau belum.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya:“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Seorang ibu juga sanggup bersusah payah, berlapar untuk memastikan anak-anaknya senang dan kenyang. Tetapi kita sebagai anak selalu tidak mengambil endah dengan pengorbanan ibu. Kita sering ambil sambil lewa sahaja. Ketika kita kecil, mereka akan melayan kerenah kita tanpa rasa penat dan jemu. Adakalanya, walaupun mereke telah penat ketika pulang dari kerja, tetapi didepan kita, ibu akan sentiasa memberi senyuman yang paling manis dan melayan kita dengan mesra. Seorang ibu itu juga sanggup melakukan apa sahaja jenis pekerjaan untuk memastikan anak-anaknya senang. Tetapi selalunya kita sebagai anak tidak pernah menghargai apa yang telah ibu lakukan.
Kasihnya seorang ibu itu, terpancar apabila bagaimana jahat sekalipun seorang anak itu. Tidak kiralah apa yang anak lakukan, si ibu tetap akan mengasihi anaknya sepenuh hati dan akan sentiasa sedia untuk memaafkan kesalahan anak itu. Bukan itu sahaja, seorang ibu juga tidak pernah meminta segala jasanya dibalas, tetapi merekalah orang yang paling gembira apabila anak-anaknya ingat dan membalas jasanya.
Kesimpulanya:
Ibu merupakan orang yang paling penting selain ayah. Ibu juga adalah orang yang perlu kita hormati. Setiap kata yang keluar daripada mulutnya adalah nasihat yang amat berguna untuk anaknya. Seorang ibu akan sentiasa bersedia mengharungi segala badai yang melanda semata-mata untuk memastikan anak-anaknya dalam keadaan selamat dan selesa. Hargailah ibu-ibu kamu sementara mereka masih ada dimuka dunia ini. Layanlah mereka sebagaimana mereka melayan kerenah dan keletah kamu ketika kamu masih kecil. Janganlah melawan dan menderhaka kepada ibu. Ini kerana, syurga dibawah telapak kaki ibu.
Mutiara kata
Tidak ada sutera yang begitu lembut seperti belaian seorang ibu,
Tidak ada tempat yang paling nyaman selain pangkuan seorang ibu,
Tak ada bunga yang lebih cantik selain senyummu,
Tak ada jalan yang begitu berbunga-bunga seperti yang dicetak dengan langkah kakimu.
Kau adalah alasan kenapa aku ada.
Tidak ada tempat yang paling nyaman selain pangkuan seorang ibu,
Tak ada bunga yang lebih cantik selain senyummu,
Tak ada jalan yang begitu berbunga-bunga seperti yang dicetak dengan langkah kakimu.
Kau adalah alasan kenapa aku ada.
Ibuku & aku


















