Pada hari itu, semua orang kelam kabut,
sibuk. Terutamanya kedua ibubapaku. Pada masa itu aku masih kecil. Umurku masih
5 tahun ketika itu. Aku cukup pelik kenapa ibubapaku cukup sibuk terutama
sekali ibuku. Beliau mandikanku, siap pakaikan ku baju baru. Bukan itu sahaja,
ibuku juga menyiapkan sarapan untukku. Ayahku pula, sibuk bersiap dan
memanaskan enjin keretanya. Rupa-rupanya hari tersebut adalah hari pertama aku
memasuki sekolah yang diberi nama Tabika Melodi. Ibubapaku sungguh teruja,
tetapi aku biasalah hari pertama mestilah aku menangis kerana memikirkan
ibubapaku akan meninggalkan aku sendiri disitu dan juga aku melihat terlalu
ramai orang baru yang aku tidak kenali. Tetapi lama kelamaan, aku dapat
menerima suasana tersebut. Aku sudah mempunyai ramai kawan baru. Aku sudah
tidak menangis lagi. Walaupun begitu, sebab utama kenapa aku tidak menangis
lagi adalah setiap pagi ayahku pasti akan membawa aku makan roti canai di kedai
mamak sebelum beliau menghantarku ke tabika. Jika tidak pasti aku menangis dan
membuat hal.
Aku masih ingat lagi di Tabika Melodi
tersebut selain aku belajar ABC dan 123, aku juga turut belajar bahasa cina.
Yang paling membanggakan diriku ini adalah setiap kali ujian aku pasti akan
mendapat markah 100% untuk kertas bahasa cinaku. Lawak rasanya bila teringat
suasana pada masa itu, sebenarnya bukan kerana aku pandai dalam bahasa cina.
Tetapi semua jawapan bagi kertas tersebut ada terlekat disekeliling kelasku.
Aku juga masih teringat, suatu hari ketikaku di tabika. Salah seorang rakanku
telah memanggilku untuk melihat sesuatu di dalam begnya. Rupa-rupannya dia
telah membawa seeokor anak arnab berwarna putih yang sangat comel. Dia membawa
anak arnab itu keluar dan memberikan kepadaku untuk memegangnya. Semenjak hari
itu, aku menyuruh ayahku membelikan seeokr arnab untukku. Tetapi aku sedih
kerana arnab tersebut telah tiada lagi. oh... berbalik dengan kenanganku
sewaktu sekolah. Walaupun aku masih di tabika, tetapi aku sangat aktif. Ini
kerana, aku telah memasuki persembahan tarian moden dan juga bermain alat muzik
pianika. Pianika ini adalah ala-ala piano kecil. Aku mahir dalam membaca note
muzik. Itu adalah anggapanku ketika itu, tetapi sebenarnya semua murid di
tabika tersebut memasuki persembahan tersebut. Cuma rezeki bagi diriku kerana
aku terpilih untuk kedua-dua persembahan.
Setelah 2 tahun aku di tabika, akhirnya aku
dapat lihat sekali lagi ibubapaku sibuk menguruskan diriku seperti hari pertama
aku memasuki tabika. Rupa-rupanya, aku telahmemasuki darjah 1 di Sekolah
Kebangsaan Raja Muda, seksyen 4 Shah Alam. Akhirnya, aku telah memakai pakaian
uniform sekolah berwarna biru tua. Untuk memudahkan aku ketika di sekolah,
ibuku telah memakaikanku skirt berbanding baju kurung. Katanya senang untukku
pergi ke tandas....hahaha... Seperti rakan-rakan lain, ibubapaku menungguku
diluar kelas gara-gara takut aku menangis di dalam kelas. Aku pula, sikit-sikit
pasti akan pandang ke luar. Sekiranya aku tidak melihat ibubapaku , mulalah aku
menangis. Padahal ibubapaku ada disebalik pintu. Tapi semua itu berlaku hanya
seminggu awal persekolahan sahaja. Setelah itu aku berjumpa kawan baru, ada
yang tabika bersamaku dahulu dan ada juga dari tabika lain. Selalunya, aku dan
kawanku pasti tidak sabar menunggu waktu rehat. Ini kerana, pada waktu itu kami
akan ke kantin untuk membeli makanan. Adakalanya ibuku akan menyediakan bekal
untukku dan adakalanya ayahku akan memberikan aku duit untuk membeli makanan.
Aku merupakan salah seorang pelajar terbaik ketika aku di darjah 1 dan 2,
tetapi semasa aku darjah 3 dan keatas aku telah turun ke kelas kedua. Bukan
kerana aku tidak pandai, tetapi terlalu ramai murid yang pandai jadi kami telah
dipecahkan kepada 2 kelas.
Semenjak dari darjah 2 lagi aku telah
menjadi ahli perpustakaan. Aku amat meminati bidang ini kerana aku suka melihat
buku-buku yang banyak tersusun di atas rak. Setiap hari aku pasti akan ke pusat
sumber untuk menjalankan tugas bagi memastikan semua buku tersusun dengan baik.
Aku telah menjadi ahli pusat sumber selama 3 tahun. Sehinggalah aku darjah 5.
Mesti ramai tertanya kenapa aku tidak meneruskan tugasku itu sehingga darjah 6.
Ini kerana, ketika aku darjah 6 aku telah mengikuti ayahku bertukar tempat
kerja di Telok Datok, Kuala Langat. Hanya ALLAH yang tahu betapa sedihnya
hatiku kerana terpaksa meninggalkan sekolahku dan rakan-rakanku. Tetapi apa
boleh buat, aku kena mengikut ibubapaku.
Untuk darjah 6, aku telah bersekolah di MES
iaitu Methodist English School. Gaya macam sekolah orang putih, tetapi
sebenarnya, sekolah tersebut dipenuhi hampir kesemuanya berbangsa india
termasuklah gurunya. Aku cukup terkejut
kerana salah seorang rakan kelasku yang baru bebangsa melayu boleh bertutur di
dalam bahasa tamil dengan jayanya. Itu merupakan pengalaman baru bagi diriku. Bukan
itu sahaja, terdapat banyak pengalaman abru yang aku dapat timba. Salah satu
daripadanya adalah pada hari pertama aku memasuki MES. Opss.... bukan aku
menangis. Tetapi pada ketika itu aku memakai uniform skirt kerana aku telah
memakainya sejak dari darjah 1 lagi sehingga darjah 5. Hendak dijadikan cerita,
pada hari pertama tersebut terdapat kelas pendidikan islam. Bagi mata pelajaran
tersebut kami yang berbangsa melayu akan duduk di satu kelas lain dan murid
berbangsa lain akan duduk dikelas yang lain. Apa yang cukup memeranjatkanku
adalah, aku merupakan satu-satunya pelajar melayu perempuan yang memakai skirt
dan tidak bertudung. Petang itu juga aku mengajak ibubapaku ke kedai untuk
membeli baju kurung dan tudung. Bermula dari hari itulah aku telah memakai baju
kurung dan tudung ketika disekolah.
Memang banyak pengalaman baru aku disekolah
ini. Salah satu daripadanya ialah apabila hujan lebat, sekolahku pasti banjir. Tetapi
tidaklah dalam sangat. Cuma sebagai kanak-kanak, aku teruja untuk bermain air. Selain
itu, baru aku tau kenapa aku pandai dalam mata pelajaran matematik. Ini kerana,
setiap hari kami akan menghadiri perhimpunan pagi dan setiap pagi pasti ada
nama bertuah akan dipanggil untuk membacakan sifir di hadapan semua kelas. Oleh
itu, aku akan pastikan aku menghafal semua sifir yang ada. Selain itu juga,
guru matematik juga amat tegas orangnya. Setiap kali waktu mata pelajaran
tersebut kami akan disuruh menulis sifir 1 hingga 12 dan orang yang terakhir
siap akan didenda. Oleh itu, aku pasti akan menulis dengan laju. Tetapi pada
permulaan dahulu aku akan menyiapkan sedikit dahulu. Sebenarnya bukan untuk
menipu, tetapi aku takut untuk didenda. Lama kelamaan, aku telah dapat
membiasakan diri. Oh.. lupa pula, di sekolah ini aku masih menjadi ahli pusat
sumber.
![]() |
| BERSAMA RAKAN DI SMKB |
Akhirnya, dari kain biru tua aku telah
berjaya memakai kain biru muda. Maksudnya aku telah berada disekolah menengah. Nama
sekolah aku ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Banting. Disini, betapa
istimewanya batch aku adalah aku dan rakan yang lain merupakan murid tua. Pada tahun
pertama sekolah itu dibuka iaitu pada tahun 1999, aku dan rakan lain merupakan
budak tingkatan 1 yang pertama. Rasa pelik pun ada kerana terdapat banyak lagi
kelas kosong yang tidak digunakan. Disebabkan ayahku telah mendaftarkan aku
lambat, ia menyebabkan namaku tidak ada dalam mana-mana kelas. Oleh itu aku
telah memilih untuk masuk ke kelas 1 Amanah iaitu satu-satunya kelas yang
mengambil subjek tambahan iaitu Bahasa Arab. Opss.... bukan sebab aku pandai
bahasa arab. Tetapi aku memilih kelas tersebut kerana aku kenal beberapa murid
di dalam kelas tersebut. Di dalam kelasku terdiri daripada semua melayu dan
islam. Tapi aku bernasib baik, oleh kerana, ia merupakan tahun pertama sekolah
tersebut mengambil pelajar yang mengambil peperiksaan menengah rendah (PMR),
jadi kami mempunyai pilihan untuk mengambil subjek bahasa arab itu atau tidak. Akhirnya
aku memilih untuk tidak mengambil. Aku juga telah memilih sekali lagi untuk
menjadi ahli pusat sumber. Dari ahli biasa sehinggalah aku menjadi ketua. Bukan
itu sahaja, aku juga merupakan ahli pengakap. Disebabkan tidak ramai orang,
akutelah merasa hampir kesemua jawatan tinggi. Dari bendahari ke setiausaha dan
akhirnya menjadi naib pengerusi. Seronoknya ketika itu, kerana aku dan beberapa
rakan lain sangat aktif dalam perkhemahan. Pelbagai tempat aku telah pergi dan
pelbagai pengalaman aku dapat rasai yang mungkin kini pasti payah untuk aku
rasai lagi.

Tup tap tup tap..... akhirnya aku telah
naik ke tingkatan 4. Aku telah mengambil jurusan perakaunan dan perdagangan. Buat
kali pertamanya kelas aku terdiri daripada bangsa melayu, cina dan india. Tetapi
mejoriti rakan sekelasku adalah berbangsa cina. Sedikit sebanyak aku mula dapat
menyesuaikan diri. Sejarah besar yang aku dan rakan kelas lain lakukan adalah
membuat bendera Malaysia terpanjang disekolah untuk sambutan hari Kemerdekaan. Kami
telah datang ke sekolah setiap petang selama seminggu untuk menyiapkan bendera
tersebut dan menghias kelas kami. Akhirnya, kami telah menjuarai bagi kategori
kelas tercantik. Seronoknya tidak terkira. Ada kalanya, aku juga seperti
pelajar-pelajar lain. Aku juga nakal orangnya. Aku mempunyai tempat rahsia
untuk belajar, iaitu di tangga sebelah kelasku. Tapi selalunya pasti aku akan
ditangkap oleh guru displinku iaitu cikgu Sani. Oleh itu, setiap kali aku di
tempat itu, aku akan pastikan Cikgu Sani tiada di tempat berhampiran. Akhirnya,
tamat la aku berada di sekolah menengah. Aku sangat merindui saat-saat pada
masa itu.![]() |
| RAKAN SEKELAS TING 6 (SMKTD) |
![]() |
| AHLI ASRAMA |
Tidak lama selepas itu, aku telah
ditawarkan untuk memasuki tingkatan 6 rendah. Tetapi bukan di SMKB. Aku telah
bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok (SMKTD). Di situ, aku
telah duduk di asrama. Sekali lagi aku mengalami kejutan budaya kerana ini
merupakan kali pertama aku duduk diasrama. Aku juga mengalami
pengalaman-pengalaman yang seram seperti setiap orang yang pernah duduk
diasrama. Aku juga sedikit bangga apabila diasrama aku merupakan kakak senior
dan setiap kali ketika waktu persekolahan jika aku terserempak dengan adik-adik
asramaku pasti mereka akan memberi salam. Itu merupakan hormat mereka kepada
kita. Bukan itu sahaja, aku juga pernah menonton ala-ala wayang di sekolah. Aku
masih ingat lagi ketika itu cerita yang tengah hangat adalah Pontianak Harum
Sundal Malam. Ketika itu bagiku cerita tersebut agak seram. Hendak di pendekkan
cerita pada malam tersebut, kami semua pergi ke tandas bersama-sama. Hehehe......



No comments:
Post a Comment